Tuesday, September 16, 2014

Adnan Januzaj tunjuk kebolehan untuk Louis van Gaal

Adnan Januzaj sedar kebolehan beliau dalam bertahan perlu sama hebat dengan kemampuan beliau menjaringkan gol apabila mencipta hatrik dalam kemenangan 4-0 Manchester United Bawah 21 ke atas Sunderland.

Pemain Belgium itu masuk daripada bangku simpanan membantu pasukan yang dikendali Louis van Gaal itu menang ke atas QPR dengan keputusan yang sama di Old Trafford pada Isnin malam lepas.

"Saya telah mencuba yang terbaik," beliau memberitahu MUTV. "Jelas, walaupun peringkat pasukan simpanan sahaja, saya perlu selalu menunjukkan kemampuan diri dan cuba meningkat. Saya berjaya melakukan hatrik tetapi kemampuan saya untuk bertahan juga memainkan peranan penting dan perkara seperti inilah yang saya perlu lakukan untuk pasukan utama.

"Walaupun saya bermain banyak perlawanan pada musim lepas tetapi saya perlu cuba untuk menarik perhatian pengurus pasukan sekali lagi serta cuba kembali mendapat tempat untuk musim ini."

"Saya melakukannya untuk diri sendiri," kata beliau, ketika ditanya adakah persembahan beliau yang layak dijadikan teladan kepada pemain muda yang lain boleh membuatkan Louis van Gaal membuka mata setelah beliau terpaksa turun bermain untuk pasukan Warren Joyce ini walaupun selalu bermain untuk pasukan utama. "Saya tidak melakukannya untuk orang lain tetapi untuk diri sendiri kerana saya betul-betul menjaga persembahan saya di atas padang. Tidak kiralah untuk pasukan bawah 18 tahun sekalipun, saya perlu melakukannya dan cuba untuk lebih meningkat setiap kali saya bermain."

(dialihbahasa daripada http://www.manutd.com/en/News-And-Features/Football-News/2014/Sep/adnan-januzaj-determined-to-work-hard-despite-hat-trick.aspx)

Monday, September 15, 2014

Muka baru United: Bagaimana pencapaian mereka?

Empat pemain baru telah membuat penampilan pertama di Old Trafford pada Ahad lepas menentang QPR. Berikut merupakan analisis terhadap persembahan dan impak yang mereka bawa pada perlawanan itu.

Angel Di Maria | Penampilan pertama di laman sendiri | Tempoh bermain: 83 minit
Satu persembahan yang sangat menyerlah di Old Trafford ditonjolkan oleh pemain dari Argentina itu. Skil, keseimbangan dan naluri menyerang yang dimiliki beliau sangat mengujakan dan beliau adalah inspirasi kepada kemenangan 4-0 United ke atas QPR. Satu gol dan satu hantaran gol (beliau juga terlibat dalam dua lagi gol United) pada penampilan pertama sememangnya menarik perhatian, tetapi lebih daripada itu ialah variasi hantaran yang dilakukan, visi, kreatif dan serangan yang bertenaga sering membuatkan para penyokong teruja. Apapun, ini hanya permulaan - banyak lagi yang bakal beliau sajikan. Beliau berhak mendapat penghormatan yang diberikan peminat begitu juga anugerah Pemain Terbaik Perlawanan.

Daley Blind | Penampilan pertama | Tempoh bermain: 90 minit
Sementara perhatian lebih tertumpu kepada Di Maria, kita tidak sepatutnya terlepas pandang kepada kerja keras yang dilakukan oleh Daley Blind dalam mengalahkan QPR. Beraksi kali pertama dengan posisi baru iaitu di hadapan empat pertahanan, pemain dari Belanda itu yang hampir menjaringkan gol pada lewat perlawanan, berjaya menyesuaikan diri dengan mudah bersama United dan serta merupakan pemain yang membuat hantaran paling banyak pada 10 minit awal. Tenang, bijak dan kebolehan menerima hantaran dengan baik, beliau kelihatan bersedia untuk menjadi tonggak penting dalam pasukan United yang berwajah baru dan lebih menarik ini.

Marcos Rojo | Penampilan pertama | Tempoh bermain: 90 minit
Sudah sekian lama United tidak mempunyai pemain Argentina dalam pasukan, tetapi sebelum pemain berumur 24 tahun ini menghadapi cabaran yang lebih sukar, beliau kelihatan selesa dengan suasana baru ini. Pemain serba boleh ini mempunyai kebolehan yang menarik perhatian Van Gaal, dan beliau masuk sebagai pemain pertahanan kiri untuk penampilan pertamanya dengan formasi empat pertahanan. Sangat menarik melihat beliau memberikan panduan pemain yang masih muda seperti Tyler Blackett. Penampilan yang mungkin agak tersembunyi tetapi berkesan.

Radamel Falcao | Penampilan pertama | Tempoh bermain: 23 minit
Para penyokong bersorak hampir sepanjang perlawanan meminjam lagu daripada Atletico Madrid dengan harapan tinggi kepada pemain yang terkenal dengan penyudah yang tepat ini. Apabila beliau akhirnya masuk padang pada minit ke 67, keputusan pada masa itu sudahpun 4-0. Pemain hebat Colombia itu mungkin mengharapkan agar dimasukkan ketika tempo perlawanan masih tinggi, tetapi beliau mempunyai peluang ketika rembatan jarak jauh Blind terlepas dari dakapan Rob Green. Beliau melakukan percubaan yang agak tepat, tetapi rembatan susulannya dapat diselamatkan. Apapun, kepantasan El Tigre menyambar peluang harus dipuji.

(diterjemah dari http://www.manutd.com/en/News-And-Features/Features/2014/Sep/Manchester-united-Old-Trafford-debutants-Di-Maria-Blind-Rojo-Falcao.aspx)

Sunday, September 14, 2014

Van Gaal puji langkah baru Reds

Pasukan 'The Reds' memastikan tiga mata milik mereka untuk kali pertama sejak pengendali dari Belanda itu mengambil alih, dengan menyajikan corak permainan menyerang serta menurunkan beberapa muka baru.

"Saya berkata sebelum perlawanan, 'mari lakukan permulaan baru'" van Gaal memberitahu MUTV. "Ini sangat penting kerana selepas 1 September, selepas jendela perpindahan, kami membangunkan pasukan dan mempertingkatkan diri setiap minggu. Saya percaya kami berjaya melakukannya."

"Apa yang penting ialah kami menjaringkan gol. Dalam perlawanan sebelum ini, kami adalah pasukan yang lebih baik tetapi gagal menjaringkan gol. Hari ini kami berjaya menjaringkan empat gol dan keputusan ini menaikkan semangat setiap pemain."

Angel Di Maria, membuat penampilan pertama di laman sendiri, memecah kebuntuan dengan satu sepakan percuma menarik yang sering dilakukannya di padang latihan, selain beberapa aspek lain pasukan juga turut dipuji pengurus itu.

"Gol pertama itu sangat penting, kami berlatih tendangan itu sebelum perlawanan tetapi beliau melakukannya pada masa yang tepat. Saya rasa muka-muka baru dapat bermain dengan begitu serasi. Memang agak sukar untuk datang dan menyesuaikan diri dengan rentak Liga Perdana tetapi mereka melakukannya dengan cemerlang, bukan hanya Di Maria sahaja."

Pengurus itu juga tidak lupa untuk memperkatakan tentang kepentingan memastikan penyokong pulang dengan senyuman: "Itu juga begitu mustahak kerana sudah begitu lama mereka menantikan keputusan yang baik seperti hari ini."

(dialihbahasa dari http://www.manutd.com/en/News-And-Features/Football-News/2014/Sep/Louis-van-Gaal-happy-with-United-win-over-QPR.aspx )